Kompang Dipalu

Ya Allah, dengan izin Mu tiba jua suamiku. Tapi kenapa cuma mereka bertiga. Seluruh keluargaku mula curiga, mana ahli keluarga yang lain-lain. Dugaan apa pula kali ini.

Mak Ngah bergegas siapkan suamiku di surau, diajak saudara-saudaraku yang jauh untuk meramaikan mempelai, agar tidak menjadi umpatan jiran tetangga. Apa yang aku dengar dari mulut mak ngah diluar jangkaan kami semua. Katanya suamiku terpaksa mengikut syarat maduku agar dapat datang ke majlis hari ini. Yang mengikut suamiku adalah biras-birasnya. Syaratnya rahsiakan perkahwinan ini dari pengetahuan seluruh ahli keluarga suamiku jika ingin majlis berjalan lancar. Ya Allah..

“Biarlah dulu, sudahkan apa yang perlu”, kata ayah. Ku tatap wajah ayah dengan hati hiba, maafkan akak. Dari jauh paluan kompang kedengaran, aku diminta keluar menyambut suami. Ahh… hati ini hiba tersangat hiba, melihat emak dan ayah menitiskan airmata. Kami ditemukan jua akhirnya. “Maafkan abang. Abang tahu isteri abang seorang yang bertimbangrasa. Ayang cantik sangat hari ni…  abang rindu sangat-sangat pada ayang”, bisiknya dengan sayu. Ku balas dengan senyuman paling indah buatnya, biar beban yang tergalas dibahu suamiku ringan seketika.

Dalam kesedihan ku gagah juga mengikut permintaan keluarga, begitu juga dengan suamiku. Hilang sebentar rasa duka dihati melihat kesungguhan keluargaku menceriakan suasana. Majlis berjalan seperti yang dirancang, alhamdulillah. Dengan izinMu Ya Allah.

Bila siang beransur malam, hatiku kembali  mendung. Selesai majlis membuka hadiah dan nasihat dari emak dan ayah, begitu juga dari pakcik-pakcikku terhadap suami. Kini tibalah aku melepasnya pergi. Walaupun hati digigit pilu, aku akur dengan keadaan kami. “Ayang izinkan abang pulang ke pangkuan akak, kerana itu janji ayang. Jangan lupa ayang disini”, kataku sayu. Sepontan aku dipeluk kemas oleh suamiku, ku dengar sendunya yang ditahan. “Terima kasih ayang, kerana faham keadaan abang”, katanya sambil mencium ubun-ubunku. Tabahlah hati janganlah kau goyah lagi, banyak ranjau yang perlu kau lalui.

Biras-biras suamiku meminta agar suamiku tinggal saja beberapa hari lagi. Aku cuma tersenyum melihat ulah mereka, biarlah suamiku pulang. Jangan biarkan akak sendiri disana, hatinya perlu dijaga. Itu saja yang mampu ku kata. Pengorbanan ini tanda kasih ku untuk mereka berdua, kerana dari mula bukan niatku meruntuhkan masjid yang telah dibina.

2 komen

  1. sya berkata,

    November 27, 2007 pada 9:48 pm

    menitis airmata saya membaca cerita ini…pengorbanan awak begitu suci….sabarlah..tuhan itu maha adil….syukur kehadrat ilahi, awak menjadi isteri dia yg sah…lebih mengembirakan lagi….perkahwinan itu, diadakan dgn sempurna……sesuatu yg paling berharga dlm hidup awak…..perkahwinan awak juga bukan rahsia…..itu yg penting….ternyata diri awak begitu dhargai….

  2. fadzil berkata,

    Disember 30, 2007 pada 11:37 pm

    hem…awk wanita yg tabah..tp tergantung jgklah cite nie…ni bleh wat cite novel nie….gudluck!


Kirim Komen